Friday, February 22, 2013

Isu Puasaka Wanita Dalam Syariah - 3



Hak wanita dalam pusaka sebagaimana yang  dijelaskan
dalam ayat 12 surah An Nisaa
“12. Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.”.

Ayat 12 di atas menghuraikan 3 hak wanita dalam hal mewarisi pusaka. Pertama hak warisan isteri ke atas pusaka daripada suaminya, kedua hak adik beradik perempuan seibu (ramai) ke atas pusaka saudaranya sama ada lelaki atau perempuan dan ketiga hak adik beradik perempuan seibu (tunggal) ke atas pusaka saudaranya sama ada lelaki atau perempuan.

Oleh itu, bahagian isteri ialah satu per empat jika si mati suami tidak mempunyai anak dan satu per lapan jika si mati mempunyai anak. Walau bagaimanapun perlu diperhatikan bahawa bahawa bahagian isteri ini adalah tidak berubah walaupun si mati suami itu mempunyai lebih daripada seorang isteri. Dalam hal yang demikian bahagian yang terpakai tersebut hendaklah dibahagikan sama rata.

Ayat 12 ini juga memperuntukkan bahagian untuk saudara sama ada lelaki atau perempuan seibu maka jika si mati tidak meninggalkan bapa atau anak maka mereka, sama ada saudara lelaki tunggal atau saudara perempuan tunggal berhak menerima bahagian sebanyak satu per enam daripada pusaka si mati. Sementara jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka semua akan berkongsi menerima pusaka sebanyak satu per tiga daripada harta si mati yang dibahagi sama rata.

Ulama sependapat mengenai makna "Kalakah" di dalam ayat di atas iaitu seseorang meninggal dunia tanpa meninggalkan ayah  mahupun anak. Ulama juga bersepakat mengatakan bahawa "akh" dan "ukht" di dalam ayat ini ialah adik beradik lelaki dan perempuan sebelah ibu sahaja kerana adik beradik seibu sebapa atau sebapa menerima pusaka dengan cara tasib. Perlu ditegaskan disini, adik beradik seibu tidak layak mendapat pusaka si mati sekiranya si mati memiliki ayah mahupun anak. Mereka juga tidak layak mendapat pusaka sekiranya terdapat penghalang daripada mendapat pusaka seperti mereka kafir atau membunuh.


Peguam Paizah