Friday, December 14, 2012

Isu Pusaka Wanita Dalam Syariah - 2


1- Hak wanita dalam pusaka sebagaimana yang  dijelaskan
dalam ayat 11 surah An Nisa'


11. Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu: Bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi-dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Jelas daripada ayat di atas beberapa keadaan seorang perempuan menerima bahagian pusakanya seperti berikut:
1-      Anak perempuan mendapat setengah daripada bahagian anak lelaki,
2-      Semua anak perempuan lebih dari dua, mendapat dua per tiga daripada pusaka
3-      Anak perempuan tunggal mendapat separuh daripada keseluruhan pusaka
4-      Ibu (bapa) mendapat satu per enam jika si mati mempunyai anak
5-      Ibu mendapat satu per tiga jika si mati tidak mempunyai anak
6-   Ibu mendapat satu per enam jika si mati mempunyai beberapa saudara

Peguam Paizah






Friday, December 7, 2012

Isu Pusaka Wanita dalam Syariah- 1



Hak wanita ke atas pusaka telah disebutkan dengan jelas di dalam Al Quran dengan kadar bahagian hak mereka seperti terkandung di dalam surah An Nisa’ ayat 11, 12 dan 176. Beberapa riwayat yang menceritakan sebab turunnya ayat-ayat, antaranya adalah berkisah tentang seorang isteri sahabat yang bernama Saad bin Rabi’ datang mengadap Rasulullah s.a.w. membawa dua orang anak perempuannya. Dia memberitahu bahawa suaminya telah mati syahid dalam peperangan Uhud. Bapa saudara budak-budak itu telah mengambil semua harta suaminya. Maka kedua-dua anak perempuan Saad tidak mendapat sesuatu pun. Rasulullah s.a.w. mengadukan hal ini kepada Allah s.w.t., kemudian turunlah ayat Faraid itu. Rasulullah s.a.w. pun mengirimkan utusan untuk memberitahu bapa saudara kedua-dua anak perempuan Saad, bahawa mereka hendaklah memberi hak kepada kedua-dua anak perempuan Saad sebanyak 2/3, kepada isteri Saad sebanyak 1/8 dan bakinya untuk mereka.
Di segi bahasa, pusaka bermaksud perpindahan sesuatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain selepas kematiannya. Dari segi istilah, faraidh ialah ilmu yang berkaitan dengan hak dari pusaka waris, dan kadar bahagian waris seperti yang telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al Quran.
 Sebab mendapat pusaka:
Seseorang boleh mewarisi pusaka dengan tiga sebab iaitu:
a). Melalui perkahwinan sah dan akad ini berterusan sehingga ke hari kematian suami atau isteri. Ikatan perkahwinan yang sah melayakkan isteri mewarisi harta suami sama ada telah berlaku persetubuhan atau sebaliknya.Seorang isteri yang berada dalam tempoh iddah talak raj’i (boleh rujuk) juga layak mewarisi harta suaminya. Begitu juga halnya dengan isteri yang ditalak oleh suaminya yang sedang sakit tenat (maradh al-maut) dengan talak bain – tetapi bukan atas kehendak isteri - juga layak menerima pusaka peninggalan suaminya (mazhab Hanafi) tetapi menurut mazhab Shafi’i hak pewarisan terhapus
b) Melalui sebab keturunan atau kerabat si mati iaitu bapa, datuk dan ke atas, anak, cucu dan ke bawah dan adik beradik, bapa dan ibu saudara. Kerabat atau keturunan ini meliputi lelaki dan perempuan.
c). Melalui wala'- tuan kepada hamba yang telah dibebaskan (tidak terpakai kini)

Semua waris perempuan mewarisi secara fardu atau disebut juga Ashab al-furud iaitu waris fardu yang mana kadar bahagian mereka disebut di dalam Al Quran dan dalam keadaan tertentu anak perempuan mewarisi secara Asabah bil ghairi (waris yang mengambil baki sebab orang lain) bersama-sama saudara lelakinya.
Waris fardu ini terdiri daripada tiga iaitu waris utama, iaitu ibu, isteri atau anak perempuan kandung, kedua waris kedua/sisi iaitu saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa atau saudara perempuan seibu dan ketiga waris ganti iaitu ibu kepada ibu ke atas/ibu kepada bapa ke atas atau anak perempuan dari anak lelaki ke bawah.


Peguam Paizah