Friday, December 14, 2012

Isu Pusaka Wanita Dalam Syariah - 2


1- Hak wanita dalam pusaka sebagaimana yang  dijelaskan
dalam ayat 11 surah An Nisa'


11. Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu: Bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi-dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Jelas daripada ayat di atas beberapa keadaan seorang perempuan menerima bahagian pusakanya seperti berikut:
1-      Anak perempuan mendapat setengah daripada bahagian anak lelaki,
2-      Semua anak perempuan lebih dari dua, mendapat dua per tiga daripada pusaka
3-      Anak perempuan tunggal mendapat separuh daripada keseluruhan pusaka
4-      Ibu (bapa) mendapat satu per enam jika si mati mempunyai anak
5-      Ibu mendapat satu per tiga jika si mati tidak mempunyai anak
6-   Ibu mendapat satu per enam jika si mati mempunyai beberapa saudara

Peguam Paizah






Friday, December 7, 2012

Isu Pusaka Wanita dalam Syariah- 1



Hak wanita ke atas pusaka telah disebutkan dengan jelas di dalam Al Quran dengan kadar bahagian hak mereka seperti terkandung di dalam surah An Nisa’ ayat 11, 12 dan 176. Beberapa riwayat yang menceritakan sebab turunnya ayat-ayat, antaranya adalah berkisah tentang seorang isteri sahabat yang bernama Saad bin Rabi’ datang mengadap Rasulullah s.a.w. membawa dua orang anak perempuannya. Dia memberitahu bahawa suaminya telah mati syahid dalam peperangan Uhud. Bapa saudara budak-budak itu telah mengambil semua harta suaminya. Maka kedua-dua anak perempuan Saad tidak mendapat sesuatu pun. Rasulullah s.a.w. mengadukan hal ini kepada Allah s.w.t., kemudian turunlah ayat Faraid itu. Rasulullah s.a.w. pun mengirimkan utusan untuk memberitahu bapa saudara kedua-dua anak perempuan Saad, bahawa mereka hendaklah memberi hak kepada kedua-dua anak perempuan Saad sebanyak 2/3, kepada isteri Saad sebanyak 1/8 dan bakinya untuk mereka.
Di segi bahasa, pusaka bermaksud perpindahan sesuatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain selepas kematiannya. Dari segi istilah, faraidh ialah ilmu yang berkaitan dengan hak dari pusaka waris, dan kadar bahagian waris seperti yang telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al Quran.
 Sebab mendapat pusaka:
Seseorang boleh mewarisi pusaka dengan tiga sebab iaitu:
a). Melalui perkahwinan sah dan akad ini berterusan sehingga ke hari kematian suami atau isteri. Ikatan perkahwinan yang sah melayakkan isteri mewarisi harta suami sama ada telah berlaku persetubuhan atau sebaliknya.Seorang isteri yang berada dalam tempoh iddah talak raj’i (boleh rujuk) juga layak mewarisi harta suaminya. Begitu juga halnya dengan isteri yang ditalak oleh suaminya yang sedang sakit tenat (maradh al-maut) dengan talak bain – tetapi bukan atas kehendak isteri - juga layak menerima pusaka peninggalan suaminya (mazhab Hanafi) tetapi menurut mazhab Shafi’i hak pewarisan terhapus
b) Melalui sebab keturunan atau kerabat si mati iaitu bapa, datuk dan ke atas, anak, cucu dan ke bawah dan adik beradik, bapa dan ibu saudara. Kerabat atau keturunan ini meliputi lelaki dan perempuan.
c). Melalui wala'- tuan kepada hamba yang telah dibebaskan (tidak terpakai kini)

Semua waris perempuan mewarisi secara fardu atau disebut juga Ashab al-furud iaitu waris fardu yang mana kadar bahagian mereka disebut di dalam Al Quran dan dalam keadaan tertentu anak perempuan mewarisi secara Asabah bil ghairi (waris yang mengambil baki sebab orang lain) bersama-sama saudara lelakinya.
Waris fardu ini terdiri daripada tiga iaitu waris utama, iaitu ibu, isteri atau anak perempuan kandung, kedua waris kedua/sisi iaitu saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa atau saudara perempuan seibu dan ketiga waris ganti iaitu ibu kepada ibu ke atas/ibu kepada bapa ke atas atau anak perempuan dari anak lelaki ke bawah.


Peguam Paizah





Friday, November 23, 2012

Isu Pusaka Wanita dalam Syariah - Pengenalan



SYARIAH TIDAK MENDISKRIMINASIKAN WANITA DALAM ISU PUSAKA

Sebelum Islam, kedudukan wanita tidak terbela. Bukan sahaja wanita tidak mewarisi harta pusaka tetapi mereka juga dibunuh dan perlakukan seperti barang dagangan. Berdasarkan the Encyclopaedia Americana, Undang-undang Common Law Inggeris yang terawal memperuntukkan bahawa semua harta yang dimiliki oleh seseorang wanita sebelum berkahwin akan bertukar menjadi harta suami setelah mereka berkahwin. Suami mempunyai hak ke atas semua hasil daripada harta milik isterinya dan segala manfaat yang diperolehi daripadanya. Di Eropah, hanya sekitar tahun 1870an barulah undang-undang ini dipinda dan wanita dibenarkan memiliki harta sama ada secara pusaka atau kontrak. Perancis pula sehingga tahun 1938 baru meminda undang-undang ini. Islam pula telah memperuntukkan hak kepada harta dan pewarisan sejak kedatangan Islam kira-kira 1433 tahun dahulu (kedatangan Islam kira-kira pada tahun 670M).Walaubagaimana ada sebahagian wanita Jahiliyyah mendapat warisan pusaka seperti Khadijah daripada harta bapa dan suaminya.



Islam telah menghapuskan adat buruk masyarakat Arab Jahiliyyah iaitu melarang kaum wanita dan kanak-kanak dari pada mendapat pusaka. Islam mengiktiraf hak wanita dan kanak-kanak dan meletakkan mereka di dalam golongan yang berhak menerima pusaka sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah An Nisa’ ayat 7 yang bermaksud:
“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

Peguam Paizah




Friday, November 16, 2012

Wasiat - Akhir


Permasalahan yang timbul adalah antaranya apabila wasiat dibuat kepada ahli waris utama yang berhak di bawah hukum faraid. Wasiat dibuat kepada mereka yang terhalang daripada menerima wasiat atas alasan-alasan syarak. 

Terdapat beberapa cara untuk membuat wasiat, seperti Majlis Agama Islam Selangor, Amanah Raya Berhad, Peguam dan juga penulis-penulis wasiat bertauliah. Kadar bayaran yang dikenakan oleh Majlis Agama Islam Selangor adalah antara yang terendah. Anda boleh melayari maklumatnya di http://www.jais.gov.my

Kepentingan membuat wasiat ini adalah untuk memberi peluang terakhir kepada pewasiat, untuk menguruskan hartanya dan memenuhi hasrat pewasiat bagaimana hartanya hendak dibahagi-bahagikan, tanpa melanggar hukum syarak. Pewasiat dapat memastikan bagaimana agihan hartanya dibuat kepada waris dan penerima mengikut kehendak dan hasrat dengan tepat dan wajar dengan menentukan harta dan had yang diberi. Dalam masa yang sama memelihara kepentingan dan kebajikan penerima.

Pada masa yang sama memberi peluang terakhir pewasiat untuk melakukan amal jariah untuk mendapat ganjaran Allah yang berkekalan,insyaAllah. Ini adalah kerana warisnya mungkin akan menghabiskan semua harta pusaka tersebut dengan borosnya atau membelanjakannya bukan untuk kepentingan Agama di mana tiada ganjaran yang diperolehi daripanya.

Memberi kebebasan kepada pewasiat untuk arahan-arahan kepada ahli waris.  Mengelakkan anggapan bahawa ahli waris akan bermuafakat untuk menguruskan harta pusaka dengan amanah dan penuh tanggungjawab. Mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala yang berkekalan.
  
Dengan membuat wasiat dapat menanam dan menguatkan siratulrahim dan ikatan kasih sayang di antara pewasiat dan penerima wasiat. Dengan wasiat juga dapat menjayakan hasrat pewasiat dan keinginan bagaimana hartanya hendak ditadbirkan dan kepada siapa. Ianya juga adalah cara yang baik untuk mengurus harta bagi mengelakan berselisihan di antara ahli waris terutamanya jika berkaitan dengan hak kepada anak angkat atau anak tiri atau anak tidak sah taraf. Ia jua dapat memupuk jiwa seseorang untuk melakukan sedekah jariah dan amal kebajikan.

Peguam Paizah




Wednesday, November 14, 2012

Wasiat -D.I.Y.

Seseorang bertanya kepada saya mengenai Hibah dan Wasiat. Dia memberitahu saya dia ingin membuat kedua-duanya sendiri. Persoalannya, mengapa tidak menggunakan khidmat Peguam??? Saya poskan persoalan tersebut di status Page FB Paizah. Antara respons yang saya terima ialah "jimat belanja". Tepat, itulah jawapannya.

Timbul pula persoalan kedua. 

Persoalan : Permasalahan hanya akan timbul SELEPAS pembuatnya telah meninggal dunia. Fikir-fikirkan. Jawapan yang saya terima, "malas nak fikir". Itu adalah jawapan atau respons yang biasa diterima dan diberikan, kerana asasnya bukankah sudah terdapat faraid dalam Islam.


Wasiat dan Hibah hanyalah instrumen tambahan kepada pelupusan atau pembahagian harta pusaka. Mari sama-sama kita fikir-fikirkan.



Peguam Paizah




Friday, November 9, 2012

Wasiat -2

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: 

"Sesiapa yang mati meninggalkan wasiat maka ia mati di atas jalan yang lurus dan dalam keadaan mengikut sunnah, mati dalam keadaan taqwa dan dalam syahadah dan mati dalam keadaan diampuni baginya (dosa-dosanya)" (riwayat Ibn Majah)

Berwasiat adalah sunnah yang amat digalakkan untuk dilakukan dan hukumnya sunat muakkadd. Wasiat boleh dilakukan sama ada secara lisan atau bertulis. Walau bagaimanapun pada zaman ini, wasiat secara bertulis adalah lebih baik dan praktikal daripada wasiat secara lisan kerana wasiat secara lisan berkemungkinan akan ditentang atau timbul permasalahan yang mana hendaklah diputuskan oleh mahkamah.

Pun begitu, hukumnya menjadi wajib jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti hutang dengan Allah iatu zakat dan haji. Ini kerana jika tidak diwasiatkan bimbang kemungkinan harta tersebut akan habis. Ini termasuk juga berkenaan hutang atau pemulangan barangan yang dipinjam atau dipegang sebagai pemegang amanah.

Ia juga boleh menjadi haram jika berwasiat pada perkara yang menyalahi syarak, seperti kepada gereja atau rumah perjudian.

Seterusnya pembuatan wasiat tidaklah muktamad, kerana pembuat wasiat, Pewasiat boleh menarik balik wasiatnya pada bila-bila masa dan membuat wasiat yang baharu. Wasiat yang baharu adalah membatalkan wasiat terdahulu.

Wasiat juga boleh menjadi terbatal apabila pewasiat hilang keupayaan fikiran (hilang akal/tidak siuman) dan mati dalam keadaan tersebut (tidak siuman), penerima wasiat mati sebelum pewasiat, wasiat tersebut ditarik balik oleh pewasiat dan kemusnahan harta atau barang yang diwasiatkan.

Oleh itu, buatlah wasiat demi keselestarian hidup.

Peguam Paizah


Friday, November 2, 2012

Wasiat 1

Ahli fiqh mazhab Syafie berpendapat bahawa mengikut istilah bahasa, wasiat berasal dari perkataan “wassa”- bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang diperbuat oleh seseorang semasa hayatnya dan mendapat faedah selepas is meninggal dunia. Dan dari segi istilah pula, ia adalah pemberian hak kepada seseorang yang boleh dilakukan selepas kematian pemberi wasiat. Ia boleh dilakukan sama ada dengan lafaz atau bertulis.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibubapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”
(Surah Al-Baqarah Ayat 180)

Rasulullah s.a.w juga menggalakkan umatnya yang mempunyai harta agar dapat melakukan wasiat semasa hidupnya.

“Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris”
(Riwayat at Tarmizi)

Untuk memudahkan, saya senaraikan perkara-perkara berikut:

1. Orang Islam boleh mewasiatkan 1/3 [satu per tiga] daripada keseluruhan harta mereka kepada:

    (i) bukan waris di sisi syarak seperti:

           (a) anak angkat
           (b) anak tak sah taraf
           (c) ibu & bapa angkat
           (d) ibu & bapa kandung yang bukan Islam
           (e) anak-anak & adik beradik kandung yang bukan Islam
           (f) sanak saudara bertalian darah tetapi terhalang oleh waris yang berhak di sisi syarak

   (ii) badan-badan yang menjalankan aktiviti keislaman.

Senarai di atas hanyalah contoh kategori beberapa individu dan tidaklah muktamad. Walau bagaimana pun, seseorang itu tidak boleh berwasiat kepada perkara yang tidak pasti (uncertain), mungkar dan menyalahi ajaran Islam.

2. Sebelum dilaksanakan wasiat, segala hutang pewasiat (simati) mesti diselesaikan terlebih dahulu.

Oleh itu, bersegeralah dalam membuat Wasiat seperti sabda Rasulullah s.a.w:

“Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

~Peguam Paizah~








Monday, October 29, 2012

Wasiat - Pengenalan



Saya menonton filem "Tiga Abdul" lakonan P.Ramlee buat kali yang ke???. Melihat kepincangan pembahagian pusaka Ismet Ulam Raja, saya terpanggil untuk menulis mengenai sesuatu yang amat rapat dengan kita semua tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Oleh kerana hidup lawannya mati dan kematian kita pasti akan datang tanpa diundang, adakah kita sudah sedia menghadapinya. Bukan soal amal ibadah yang saya maksudkan, tetapi persediaan harta kita yang ditinggalkan. Selepas kita mati, harta kita menjadi pusaka kita kepada waris. Tetapi Allah s.w.t. telah berfirman untuk kita membuat wasiat. Tidak perlu saya ulas ayat Al Quran di sini. Saya hanya ingin menulis mengenai wasiat sahaja.

Mungkin ramai yang keliru mengenai wasiat. Orang Islam boleh membuat wasiat, tetapi mereka tidak boleh mewasiatkan seluruh harta mereka kepada mereka yang bukan waris di sisi syarak dan juga tidak boleh mewasiatkan harta mereka kepada waris yang berhak di sisi syarak. Oleh kerana kekeliruan ini ada yang berpendapat bahawa orang Islam tidak membuat wasiat tetapi drama Melayu melakonkan sebaliknya. Ada juga yang terpedaya dengan drama Melayu dan membuat wasiat kepada ahli waris pula. Jadi bagaimana?

~Peguam Paizah~