Hak wanita ke atas pusaka telah disebutkan dengan
jelas di dalam Al Quran dengan kadar bahagian hak mereka seperti terkandung di
dalam surah An Nisa’ ayat 11, 12 dan 176. Beberapa riwayat yang menceritakan
sebab turunnya ayat-ayat, antaranya adalah berkisah tentang seorang isteri
sahabat yang bernama Saad bin Rabi’ datang mengadap Rasulullah s.a.w. membawa
dua orang anak perempuannya. Dia memberitahu bahawa suaminya telah mati syahid
dalam peperangan Uhud. Bapa saudara budak-budak itu telah mengambil semua harta
suaminya. Maka kedua-dua anak perempuan Saad tidak mendapat sesuatu pun.
Rasulullah s.a.w. mengadukan hal ini kepada Allah s.w.t., kemudian turunlah
ayat Faraid itu. Rasulullah s.a.w. pun mengirimkan utusan untuk memberitahu
bapa saudara kedua-dua anak perempuan Saad, bahawa mereka hendaklah memberi hak
kepada kedua-dua anak perempuan Saad sebanyak 2/3, kepada isteri Saad sebanyak
1/8 dan bakinya untuk mereka.
Di segi bahasa, pusaka bermaksud perpindahan sesuatu
daripada seseorang kepada seseorang yang lain selepas kematiannya. Dari segi
istilah, faraidh ialah ilmu yang berkaitan dengan hak dari pusaka waris, dan
kadar bahagian waris seperti yang telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al
Quran.
Sebab mendapat pusaka:
Seseorang boleh mewarisi pusaka dengan tiga sebab
iaitu:
a). Melalui perkahwinan sah dan akad ini berterusan sehingga ke
hari kematian suami atau isteri. Ikatan
perkahwinan yang sah melayakkan isteri mewarisi harta suami sama ada telah
berlaku persetubuhan atau sebaliknya.Seorang isteri yang berada dalam tempoh iddah
talak raj’i (boleh rujuk) juga layak mewarisi harta suaminya. Begitu juga
halnya dengan isteri yang ditalak oleh suaminya yang sedang sakit tenat (maradh
al-maut) dengan talak bain – tetapi bukan atas kehendak isteri - juga layak
menerima pusaka peninggalan suaminya (mazhab Hanafi) tetapi menurut mazhab
Shafi’i hak pewarisan terhapus
b) Melalui sebab keturunan atau kerabat si mati iaitu bapa, datuk dan ke atas, anak, cucu dan ke bawah dan adik beradik, bapa dan ibu saudara. Kerabat atau keturunan ini meliputi lelaki dan perempuan.
c). Melalui wala'- tuan kepada hamba yang telah dibebaskan (tidak terpakai kini)
Semua waris perempuan mewarisi secara fardu atau
disebut juga Ashab al-furud iaitu waris fardu yang mana kadar bahagian mereka
disebut di dalam Al Quran dan dalam keadaan tertentu anak perempuan mewarisi
secara Asabah bil ghairi (waris yang mengambil baki sebab orang lain) bersama-sama
saudara lelakinya.
Waris fardu ini terdiri daripada tiga iaitu waris
utama, iaitu ibu, isteri atau anak perempuan kandung, kedua waris kedua/sisi
iaitu saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa atau saudara
perempuan seibu dan ketiga waris ganti iaitu ibu kepada ibu ke atas/ibu kepada
bapa ke atas atau anak perempuan dari anak lelaki ke bawah.
Peguam Paizah
No comments:
Post a Comment