Friday, November 23, 2012

Isu Pusaka Wanita dalam Syariah - Pengenalan



SYARIAH TIDAK MENDISKRIMINASIKAN WANITA DALAM ISU PUSAKA

Sebelum Islam, kedudukan wanita tidak terbela. Bukan sahaja wanita tidak mewarisi harta pusaka tetapi mereka juga dibunuh dan perlakukan seperti barang dagangan. Berdasarkan the Encyclopaedia Americana, Undang-undang Common Law Inggeris yang terawal memperuntukkan bahawa semua harta yang dimiliki oleh seseorang wanita sebelum berkahwin akan bertukar menjadi harta suami setelah mereka berkahwin. Suami mempunyai hak ke atas semua hasil daripada harta milik isterinya dan segala manfaat yang diperolehi daripadanya. Di Eropah, hanya sekitar tahun 1870an barulah undang-undang ini dipinda dan wanita dibenarkan memiliki harta sama ada secara pusaka atau kontrak. Perancis pula sehingga tahun 1938 baru meminda undang-undang ini. Islam pula telah memperuntukkan hak kepada harta dan pewarisan sejak kedatangan Islam kira-kira 1433 tahun dahulu (kedatangan Islam kira-kira pada tahun 670M).Walaubagaimana ada sebahagian wanita Jahiliyyah mendapat warisan pusaka seperti Khadijah daripada harta bapa dan suaminya.



Islam telah menghapuskan adat buruk masyarakat Arab Jahiliyyah iaitu melarang kaum wanita dan kanak-kanak dari pada mendapat pusaka. Islam mengiktiraf hak wanita dan kanak-kanak dan meletakkan mereka di dalam golongan yang berhak menerima pusaka sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah An Nisa’ ayat 7 yang bermaksud:
“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

Peguam Paizah




No comments:

Post a Comment